Gaji Engineer Malaysia vs Jepun 2006 vs 2019


Bila ramai yang kata kenapa jumlah jurutera atau nama popularnya engineer kurang atau tidak cukup, faktor utama saya rasakan ini adalah disebabkan oleh gaji. Di sini saya cuba bandingkan gaji di Malaysia dan Jepun dibandingkan dengan kos hidup antara tahun 2003 dan tahun 2019.

Jika kita bandingkan gaji, gaji engineer di Jepun tidak banyak berubah untuk lepasan universiti. Gaji pada tahun 2003 untuk lepasan degree mechanical ialah 206,000 Yen dan meningkat 216,000 Yen pada tahun 2019 (data ini ditanya kepada kawan syarikat lama). Meningkat 10,000 Yen atau RM360 sahaja. Tetapi harga makanan pada 2003 sehingga kini tidak banyak berubah. Selepas balik dari Jepun pada 2012, saya pernah datang 3 kali ke Jepun pada 2014, 2017, dan 2018. Ternyata harga makanan tidak berubah. Tempura Soba iaitu makanan pertama kena dengan tekak saya di Kafe Science and Engineering Waseda University masih 250 Yen sama 2003, Peperencino Saizeriya masih 299 Yen, harga lunch set nan di Siddique masih 1200 Yen... Ini yang saya cek ketika datang ke Jepun pada Mac 2018. Kesemua tidak berubah, ini bermakna kos sara hidup tidak berubah dan gaji naik. Cuma Onigiri naik dari 105 yen ke 108Yen disebabkan oleh GST yang naik dari 5% ke 8%.

Di Malaysia pada tahun 2006, saya mendapat offer sebagai engineer di Perodua dan gaji yang ditawarkan ialah RM2200 tidak termasuk elaun. Tapi saya memilih untuk sambung master ketika itu. Kini alhamdulillah untuk fresh grad ditawarkan sebanyak RM2800 tidak termasuk elaun iaitu naik RM600 (lebih tinggi dari Jepun). Data ini saya dapat melalui pertanyaan pelajar saya sama ada nak balik Malaysia selepas grad atau bekerja di Jepun dahulu.
Tetapi kenaikan ini tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup. Di Jepun dari 2003 kos makan tidak banyak berubah tapi di Malaysia harga nasi goreng tempat saya belajar iaitu KYPM Bangi (Kini KPTM Bangi) di sebelah restoran sebelah masjid Teras Jernang ialah RM2.00. Campur air sirap RM0.50 jadilah RM2.50. Paling mahal pun nasi goreng ketika itu ialah RM2.50 atau RM3.00. Kini pada tahun 2019, nak cari nasi goreng RM5.00 agak susah. Di Bangi Avenue tempat saya tinggal ialah RM6.00. Jadi kos untuk makan telah meningkat antara 2.5 hingga 3 kali ganda. Sedangkan gaji hanya meningkat (RM2800/RM2200) = 1.27 kali ganda. Ini lah yang dikatakan kos sara hidup yang perlu ditangani oleh kerajaan atau peniaga berkorban untuk tidak menaikkan harga barang. Jika kita fikirkan nisbah tersebut, gaji permulaan engineer sepatutnya kini berada di antara RM5000 hingga RM6000 sekurang-kurangnya.

Faktor inilah yang menyebabkan ramai engineer lari dari bidang engineering. Saya sebagai pensyarah kejuruteraan mekanikal boleh mengajar mereka tentang engineering, tetapi sayatidak dapat menghalang mereka mencari pekerjaan yang bergaji lebih tinggi untuk keselesaan hidup mereka. Kawan saya yang stay engineer kebanyakannya dalam bidang oil and gas dimana gaji mereka memang tinggi, tetapi dalam bidang perkilangan masih di takuk lama.

Ramai graduan engineer lari ke bidang yang lebih kaya seperti bidang insurans yang gajinya boleh mencecah 5 angka dan boleh memakai kereta mewah, atau berubah ke bidang technical service yang gajinya RM7000. Maklumat dalam drama yang engineer kaya raya itu boleh diabaikan kerana ia berbeza dengan dunia sebenar.

Kerjaya engineer adalah berbeza dengan bidang tersebut, di mana serajin mana engineer pun, gaji mereka tidak bertambah dan hanya bayaran over time sahaja yang meningkatkan motivasi. Kalau kerja lain, semakin banyak jualan semakin banyak komisen dan sebagainya. Bagi engineer, semakin banyak masalah engineer selesaikan,makin kaya syarikat. Gaji mereka akan bertambah dengan bonus tersebut.

Di Jepun, ada 組合 (Kumiai : Work Union) yang macam CUEPACKS iaitu kesatuan pekerja yang banyak. Contoh Denki Rengou (電機連合:Kesatuan Elektrik dan Mekanikal) yang akan berusaha setiap tahun supaya bonus dinaikkan. Saya harap di Malaysia juga ada persatuan yang kuat seperti itu untuk naikkan bonus yang menjadi sumber motivasi bekerja.

Jika gaji menteri atau ahli parlimen naik boleh diusulkan di perlimen, apa salahnya gaji engineer untuk naik juga diusulkan di parlimen. Kenaikan gaji atau penurunan harga barang sebagai contoh harga makan tengah hari berkurang separuh dari sekarang juga diusahakan oleh peniaga. Engineer juga akan berkorban masa dan tenaga mereka untuk meningkatkan daya saing negara, insya Allah.

Kepada pelajar-pelajar saya, saya berharap mereka semua terus bekerja dalam bidang engineering atau berkaitan engineering selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjadi negara industri 4.0. Tapi jika rezeki mereka di tempat lain, saya tidak akan menghalang. Ituah yang terbaik untuk mereka.

Sebelum ini ada yang berkata kepada saya ramai site supervisor diambil dari lepasan SPM kerana pengalaman, bagi saya jika kerja tersebut atau kerja dari bawah diberikan kepada graduan lepasan engineering, hasil akan jadi lebih baik kerana biasanya disiplin dalam mempelajari engineering ini tinggi. Mungkin gaji dibayar kepada lepasan spm boleh direndahkan, tetapi adalah lebih baik mengutamakan graduan yang belajar bidang tersebut. Masa mungkin diambil untuk mahir tapi saya berpendapat ia akan lebih cepat dari lepasan spm jika diberi peluang, insya Allah.

Semoga bidang engineering akan menjadi pilihan graduan selepas ini seperti zaman dahulu dan kenaikan gaji adalah setara dengan kenaikan kos hidup.

Semoga bermanfaat. Terima kasih kerana membaca.
Dan jika nak belajar design atau AutoCAD, jangan lupa cari Mirai Techno ye!! (Nak jugak promote (y) )

※Disclaimer: Berdasarkan pengalaman sendiri dan data yang saya perolehi dari kawan dan student saya di Jepun dan mungkin berbeza dari yang lain.

Posted using Partiko iOS


Comments 1